Copyright © Jom Amal & Sampaikan
Design by Dzignine
Thursday, 22 May 2014

Flash Card "Allah Rahmatilah Terengganu"


Gambar menunjukkan Sambutan Ulangtahun Keputeraan Sultan Terengganu ke-61 ketika itu, Almarhum Al-Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah yang disambut oleh rakyat Terengganu pada 3 Mei 1991 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Pertunjukan Flash Card "Allah Rahmatilah Terengganu" dipersembahkan oleh pelajar daripada SMK Seri Budiman, Kuala Terengganu.
Ya Allah, Rahmatilah Terengganu!!
Wednesday, 21 May 2014

Bah Besar

Gambar menunjukkan keadaan Pulau Duyong semasa banjir besar melanda Terengganu pada tahun 1965. Banjir pada tahun itu dianggap sebagai salah satu banjir yang terbesar melanda seluruh negeri Terengganu dan menyebabkan kemusnahan yang meluas.

Dalam gambar ini, turut kelihatan kawasan sekitar Padang Hiliran, Bukit Besar Haji Salleh, Pulau Kambing, kawasan darat seperti Pak Bang, Pengadang Baru, Kg Panji dan Gelugur Raja turut ditenggelami air.

Begitulah kecekalan Bangsa Terengganu setiap tahun mengharungi "Piang Hujang" setiap tahun. Peribahasa kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai amat sinonim dengan kehidupan kita. Sesungguhnya kita menghuni bumi ini dan kitalah yang memakmurkannya. Ya Allah, rahmatilah Terengganu dan segala jiwa yang hidup di negerinya.
Thursday, 8 May 2014

GANUTALGIA



(Nostalgia Terengganu)

Friday, 2 May 2014

Mengapa Haji Abdul Rahman Limbong ditangkap dan dibuang Negeri Terengganu Ke Mekah tahun 1346 H/1928M

Latarbelakang Haji Abd. Rahman Limbong Nama lengkapnya ialah Haji Abdur Rahman bin Haji Abdul Hamid bin Haji Abdul Qadir atau lebih dikenali sebagai Haji Abdul Rahman Limbong. Lahir tahun 1285 H/1868M, meninggal dunia diMekah,Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Haji Abdul Rahman Limbong mendapat pendidikan asas ilmu-ilmu Islam sejak kecil di Mekah. Di antara gurunya ialah Haji Tun Muhammad, salah seorang ayah saudaranya. Ketika pulang ke Terengganu beliau mendapat pendidikan dari Haji Ya’qub dan Haji Musa yang tinggal di Paya Bunga dan seterusnya daripada Tok Ku Paloh. Haji Abdul Rahman Limbong juga seperti gurunya Tok Ku Paloh, adalah seorang pengamal Tarikat Sammaniyah. . Pendakwah Setelah menguasai ilmu yang padu dan memadai, Haji Abdur Rahman Limbong aktif mengajar masyarakat di Hulu Terengganu. Kitab-kitab yang beliau ajar meliputi beberapa disiplin ilmu, antaranya ialah al-Ajrumiyah hingga kepada Mutammiman dan Tashil Nail al-Amani mengenai ilmu nahu, semuanya dalam bahasa Arab. Matn Umm al-Barahin, mengenai ilmu tauhid. Untuk lebih memantapkan juga diajarkan kitab-kitab tauhid bahasa Melayu, yang pasti tidak diabaikan ialah Faridah al-Faraid dan ad-Durr ats-Tsamin. Kitab fekah bahasa Arab yang pernah diajarkan oleh Haji Abdur Rahman Limbong ialah Kitab Tahrir dan ilmu tasawuf ialah Hidayah as-Salikin dan ad-Durr an-Nafis kedua-duanya dalam bahasa Melayu. Selain mengajar, Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri di dalam mengembangkan syiar Islam. Antara tempat yang pernah menerima kunjungan beliau adalah Beserah dan Kuantan di Pahang, Kelantan, Patani, Kedah, Sambas di Kalimantan, Jambi dan Riau di Sumatera dan Brunei. Dalam pelayaran di laut, Haji Abdur Rahman Limbong menggunakan perahu buatan orang Terengganu sendiri. Beliau berlayar bersama-sama dengan murid-muridnya dari Terengganu dan juga ahli pelayaran pada zaman itu, bahawa mereka telah menggunakan perahu-perahu yang berukuran besar yang boleh dimuat barang-barang antara 100 hingga 350 tan. Pejuang Dalam tahun 1920-an, Inggeris campur tangan untuk mentadbir tanah di lokasi Kuala Telemong hingga ke Ulu Telemong. Setiap ekar tanah yang dibuka oleh rakyat dikenakan cukai oleh penjajah Inggeris. Sungguhpun Haji Abdur Rahman Limbong seorang ahli sufi, namun beliau juga bijaksana dalam selok belok persoalan dunia. Haji Abdur Rahman Limbong adalah seorang sufi yang pernah menjadi peguam. Ini dapat dibuktikan dengan berkali-kali beliau berhujah di mahkamah kerana membela rakyat yang disaman oleh pihak pemerintah Inggeris. Haji Abdur Rahman Limbong dalam hujah-hujahnya di mahkamah bahawa tanah yang dibuka oleh rakyat itu adalah hak Allah bukannya hak negeri dan adalah tanah pusaka peninggalan orang-orang tua mereka yang datang dari Johor bersama-sama dengan Sultan Zainal Abidin I, Sultan Terengganu yang pertama. Dibuang Negeri Walau bagaimanapun, menurut laporan oleh H. W. Thomson dan J. L. Humphreys, Haji Abdur Rahman Limbong dan pengikutnya dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu. Akhirnya Haji Abdur Rahman Limbong ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928. Setahun kemudian, ulama pejuang Islam berbangsa Melayu itu meninggal dunia di sana.
Friday, 18 April 2014

Tok Ku Paloh Ulama Terengganu digeruni British

“Terengganu ini ada tuannya. Sila berunding dengan tuannya!(Tokku Paloh)”, titah Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918). kepada wakil British, W.L Conlay. “Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun,” kata Tokku Paloh. “Tetapi kalau nak tanah, silakan. Isilah ke dalam armada tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.” Itulah jawapan Tokku Paloh kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tukku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuk sindiran itu yang diluahkan dengan tenang tetapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil-wakil British itu. mereka bangun untuk beredar. Tetapi dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Waktu itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja :“Sudahlah tuan2 hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan2 hendak ambil?” Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20. Taktik diplomasi yang berjaya digunakan di beberapa negeri lain, gagal di negeri Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak ( pemerintah). Tegasnya antara Sayid Abdul Rahman Al Idrus atau Tukku Paloh dengan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918). Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Dilahirkan pada tahun 1817 [1236 Hijrah] di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik). Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi. Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar. Satu kejadian dimana beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.Orang ramai menjadi gempar dan cemas dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tokku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tokku Paloh dan bersama orang-orang kanannya termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Sheikh Ibrahim dan Tok Kelam serta pengikut-pengikutnya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan itu berjalan siang dan malam. Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan angkatan perang British itu nampak ‘beribu-ribu’ pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari. Kehebatan perjuangan Tokku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan takwa yang kukuh pada diri Tokku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan.
Thursday, 10 April 2014

Sultan Zainal Abidin III - Kecenderungan dan Fiil Baginda Sultan

Sultan Zainal Abidin III merupakan sultan Terengganu dan segala jajahan takluknya yang ke sebelas. Baginda memerintah negeri ini dari tahun 1881 M sehinggalah 1918 M. Pemerintahan baginda menghadapi cabaran dalam campurtangan British terhadap negeri Terengganu. Namun, dengan permuafakatan umara dan ulama terutamanya Tok Ku Paloh dan Tuan Haji Abdullah Bin Abdul Latif Losong, British gagal menguasai Terengganu semasa hayat baginda. Semasa zaman baginda, Baginda telah meminta seluruh alim ulama dan guru-guru agama di tanah jajahan Baginda supaya mengadakan solat hajat agar dilindungi Terengganu daripada dimusnah dan dizalimi British. Berikut adalah salah satu surat yang diterima oleh Tuan Haji Abdullah daripada Baginda Sultan: "..... Daripada kita Seri Paduka Yang Dipertuan Besar kepada Al-Haji Abdullah Bin Haji Abdul Latif. Maka kita nyatakan barang taarif jua kiranya hendaklah Haji Abdullah bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang hajat serta dengan doa minta dilemahkan dan dibatalkan Allah Subahanahuwataala akan kekerasan dan kejahatan seteru yang kuffar dan tipu daya mereka itu yang mencita-cita mereka itu hendak masuk memerintahkan di dalam negeri kita maa'syirul Muslimin dan minta dimudahkan oleh Allah Subahanahuwataala akan Kerajaan Siam menerima dan menurutkan seperti bagaimana maksud dan kehendak kita demikian lagi minta dikekalkan oleh Allah Subahanahuwataala akan kerajaan kita dan yang kemudian daripada kita kerajaan yang Islam jua yang memerintahkan di Negeri Terengganu ini dengan keadilannya menjalankan hukum syariat Sayyidina Muhammad Sallallahualahiwasallam maka hendaklah Haji Abdullah mengerjakan sembahyang hajat serta minta doa daripada Allah Subahanahuwataala seperti yang tersebut itu pada tiap-tiap lepas sembahyang tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan ini hingga habisnya wassalam fil badi wal khitam, 19 fi Ramadhan Sanah 1320" Ayuh sama-sama kita terus berdoa dan bermunajat agar kita kembali kepada landasan utama dalam mengekalkan tujuan penciptaan kita sebagai hamba Allah di bumi ini.
Friday, 4 April 2014

Sejarah "Panji Alam"

Assalamualaikum & salam sejahtera.. sedikit perkongsian insyallah, bersempena dengan alamat rumah saya iaitu Kg Nibong Panji Alam, Batu Burok, KualaTerengganu, Terengganu., ada cerita disebaliknya iaitu sejarah tentang Panji Alam. Nama sebenar ialah Megat Panji Alam iaitu seorang tokoh pahlawan negeri Terengganu. Megat Panji Alam adalah Putera Raja Terengganu sezaman dengan kegemilangan Melaka dan Hang Tuah. Beliau pernah bertunang dengan anak Bendahara Pahang bernama Tun Teja Benggala tetapi dilarikan oleh Hang Tuah untuk dijadikan isteri Sultan Melaka. Megat Panji Alam dan saudaranya Megat Kembar Ali berserta 4000 orang rakyat Terengganu menuju ke Melaka untuk berperang. Berita penyerangan Megat Panji Alam diketahui oleh Melaka, maka satu angkatan Melaka yang diketuai oleh Hang Tuah dan Hang Jebat menuju ke Pahang. Peristiwa pembunuhan Megat Panji Alam telah menimbulkan kemurkaan Sultan Pahang dan Sultan Terengganu. Sultan Terengganu sendiri telah bersedia untuk menuntut bela tetapi dibatalkan. Sedikit rentetan..pada tahun 2006 hingga 2012, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam(bersempena nama Megat Panji Alam) yang dibuka tahun 1965. Nama asalnya ialah Sekolah Menengah Kampung Nibong. Dirasmikan pada 28 Mac 1966 (7 Zulhijjah 1385) oleh Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Tahun 1987 Tingkatan Enam mula dibuka & pada tahun 1989 sebuah dewan serbaguna dan surau dibina.
Tuesday, 1 April 2014

Sejarah "Terengganu"

Asal Usul Nama Terengganu Terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan "Terangnya ganu", "Taring anu" dan "Terengan nu". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu iaitu penduduk Kelantan dan Pahang. "Terengnya ganu" ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi dilangit. Mereka pun menyatakan "Teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya". Sementara itu "Taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu terjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, diantara mereka dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu. Sebuah kisah lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulang-alik menggunakan kedua-dua sungai ini. Jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana, mereka akan jawab sama ada ke "Terengan ni" atau "Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncul lah Terengganu.
Thursday, 27 March 2014

Tok Pulau Manis

Nama sebenarnya ialah Syeikh Abdul Malik Bin Syeikh Abdullah. Beliau adalah keturunan Syarif Muhammad Al Baghdadi iaitu seorang pendakwah Islam terawal di Terengganu yang berasal dari Baghdad. Syeikh Abdul Malik dianggarkan lahir sekitar tahun 1650 Masihi. Syeikh Abdul Malik atau lebih dikenali sebagai Tok Pulau Manis merupakan seorang ulamak terkenal Terengganu dan juga tokoh penting yang memainkan peranan sebagai penasihat kepada Sultan Terengganu yang pertama, Sultan Zainal Abidin 1 (1708 – 1733). Semasa hayatnya beliau banyak menghabiskan masa dengan mengabdikan diri mempelajari dan menyebarkan ilmu. Berdasarkan kepada cerita lisan, Syeikh Abdul Malik di katakan pada peringkat awalnya mendapat didikan agama daripada orang tuanya. Beliau kemudiannya telah pergi ke Acheh dan Jawa untuk mendalami ilmu agama sehingga mencapai umur 30an. Beliau dipercayai berada di bumi Indonesia ini kira-kira 10 tahun. Setelah itu Tok Pulau Manis telah melanjutkan pengajiannya ke Mekah dan Madinah. Ketika di Mekah beliau mendalami ilmu Feqah Mahzab Shafie dengan Syeikh Ibrahim Al Kurani. Beliau juga belajar Ilmu Usuluddin aliran Asha’ri serta Ilmu Tasawuf terutamanya Tariqat Shadiliyyah, di Mekah dan Syathariyah di Acheh. Setelah berada di tanah suci selama 12 tahun, Tok Pulau Manis pulang ke Terengganu. Beliau kemudiannya berkahwin dengan anak seorang pembesar negeri. Setelah besarnya, Tok Pulau Manis menetap di Kampung Pulau Manis dengan menjalankan aktiviti menyebarkan ilmu agama kepada penduduk setempat dengan menubuhkan institusi pengajian bermodelkan sistem di Masjidil Haram. Sistem ini juga dikenali sebagai ‘sistem pondok’ telah mendapat sambutan mengalakkan daripada masyarakat setempat termasuk Sultan dan pembesar negeri. Sebagai pengasas sistem pondok, Tok Pulau Manis telah banyak menyalin dan mengarang kitab-kitab agama. Antara yang terkenal ialah Risalah Khabar Mi’raj, Hikam Melayu, Naql dan Kayfiqat al Niyyat Kifayah. Kitab-kitab ini digunakan semasa menyampaikan ilmu kepada penuntut-penuntutnya. Tokoh ulamak terkenal ini meninggal dunia sekitar tahun 1735 ketika berusia 80 tahun dan dimakamkan di Kampung Pulau Manis kira-kira 18 kilometer dari bandar Kuala Terengganu.
Thursday, 27 February 2014

Salam Taaruf

Assalamualaikum & salam sejahtera..
Saya Ahmad Syarifuddin bin Mamat. Tinggal di Kg Nibong Panji Alam, Batu Burok, KualaTerengganu, Terengganu.

InsyaAllah cuba menggunakan medium ini sebagai wadah untuk berkongsi maklumat, pendapat, & persoalan. Moga bermanfaat kepada semua orang. Pakat2 tunjuk ajar cara mengendalikan blog ini deh.. agar dapat diperbaiki dari masa ke semasa. Jom Same2 Kita Amal & Sampaikan...