“Terengganu ini ada tuannya. Sila berunding dengan tuannya!(Tokku Paloh)”, titah Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918). kepada wakil British, W.L Conlay.
“Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun,” kata Tokku Paloh. “Tetapi kalau nak tanah, silakan. Isilah ke dalam armada tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.”
Itulah jawapan Tokku Paloh kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tukku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuk sindiran itu yang diluahkan dengan tenang tetapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil-wakil British itu. mereka bangun untuk beredar. Tetapi dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Waktu itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja :“Sudahlah tuan2 hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan2 hendak ambil?”
Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20. Taktik diplomasi yang berjaya digunakan di beberapa negeri lain, gagal di negeri Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak ( pemerintah). Tegasnya antara Sayid Abdul Rahman Al Idrus atau Tukku Paloh dengan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918).
Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Dilahirkan pada tahun 1817 [1236 Hijrah] di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu.
Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik).
Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi.
Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.
Tokku Paloh adalah
generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar.

Satu kejadian dimana beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.Orang ramai menjadi gempar dan cemas dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tokku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tokku Paloh dan bersama orang-orang kanannya termasuk
Haji Abdul Rahman Limbong, Sheikh Ibrahim dan Tok Kelam serta pengikut-pengikutnya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan itu berjalan siang dan malam. Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan angkatan perang British itu nampak ‘beribu-ribu’ pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari.
Kehebatan perjuangan Tokku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan takwa yang kukuh pada diri Tokku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan.
0 comments:
Post a Comment