
Sultan Zainal Abidin III merupakan sultan Terengganu dan segala jajahan takluknya yang ke sebelas. Baginda memerintah negeri ini dari tahun 1881 M sehinggalah 1918 M.
Pemerintahan baginda menghadapi cabaran dalam campurtangan British terhadap negeri Terengganu. Namun, dengan permuafakatan umara dan ulama terutamanya Tok Ku Paloh dan Tuan Haji Abdullah Bin Abdul Latif Losong, British gagal menguasai Terengganu semasa hayat baginda.
Semasa zaman baginda, Baginda telah meminta seluruh alim ulama dan guru-guru agama di tanah jajahan Baginda supaya mengadakan solat hajat agar dilindungi Terengganu daripada dimusnah dan dizalimi British. Berikut adalah salah satu surat yang diterima oleh Tuan Haji Abdullah daripada Baginda Sultan:
"..... Daripada kita Seri Paduka Yang Dipertuan Besar kepada Al-Haji Abdullah Bin Haji Abdul Latif. Maka kita nyatakan barang taarif jua kiranya hendaklah Haji Abdullah bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang hajat serta dengan doa minta dilemahkan dan dibatalkan Allah Subahanahuwataala akan kekerasan dan kejahatan seteru yang kuffar dan tipu daya mereka itu yang mencita-cita mereka itu hendak masuk memerintahkan di dalam negeri kita maa'syirul Muslimin dan minta dimudahkan oleh Allah Subahanahuwataala akan Kerajaan Siam menerima dan menurutkan seperti bagaimana maksud dan kehendak kita demikian lagi minta dikekalkan oleh Allah Subahanahuwataala akan kerajaan kita dan yang kemudian daripada kita kerajaan yang Islam jua yang memerintahkan di Negeri Terengganu ini dengan keadilannya menjalankan hukum syariat Sayyidina Muhammad Sallallahualahiwasallam maka hendaklah Haji Abdullah mengerjakan sembahyang hajat serta minta doa daripada Allah Subahanahuwataala seperti yang tersebut itu pada tiap-tiap lepas sembahyang tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan ini hingga habisnya wassalam fil badi wal khitam, 19 fi Ramadhan Sanah 1320"
Ayuh sama-sama kita terus berdoa dan bermunajat agar kita kembali kepada landasan utama dalam mengekalkan tujuan penciptaan kita sebagai hamba Allah di bumi ini.
0 comments:
Post a Comment