Copyright © Jom Amal & Sampaikan
Design by Dzignine
Friday, 18 April 2014

Tok Ku Paloh Ulama Terengganu digeruni British

“Terengganu ini ada tuannya. Sila berunding dengan tuannya!(Tokku Paloh)”, titah Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918). kepada wakil British, W.L Conlay. “Kalau untuk mencampuri urusan pentadbiran kami, saya menolak walau atas alasan apa sekalipun,” kata Tokku Paloh. “Tetapi kalau nak tanah, silakan. Isilah ke dalam armada tuan sebanyak mana pihak British mahu… ambillah tanah.” Itulah jawapan Tokku Paloh kepada wakil British, semasa berlaku perundingan antara pihak British dengan Tukku Paloh yang mewakili kerajaan Negeri Terengganu. Jawapan dalam bentuk sindiran itu yang diluahkan dengan tenang tetapi tegas, ternyata menyakitkan hati wakil-wakil British itu. mereka bangun untuk beredar. Tetapi dengan kuasa Allah, punggung mereka tidak semena-mena terlekat di kerusi. Apabila mereka mengangkat punggung, kerusi turut terangkat sama buat seketika sebelum jatuh ke lantai. Waktu itu Tukku Paloh bersuara secara bersahaja :“Sudahlah tuan2 hendak ambil tanah Terengganu, kerusi rumah saya pun tuan2 hendak ambil?” Demikianlah gagalnya diplomasi British untuk menjajah Terengganu pada sekitar awal abad ke-20. Taktik diplomasi yang berjaya digunakan di beberapa negeri lain, gagal di negeri Terengganu kerana adanya gandingan rapat antara ulama dan umarak ( pemerintah). Tegasnya antara Sayid Abdul Rahman Al Idrus atau Tukku Paloh dengan Sultan Zainal Abidin III, Sultan Terengganu ke-11 (memerintah 1881-1918). Nama penuh beliau ialah Sayyid Abdul Rahman bin Sayyid Muhammad al-Aidrus. Beliau lebih dikenali sebagai Tok Ku Paloh. Gelaran lain beliau ialah Engku Sayyid Paloh, Engku Cik, Tuan Cik dan Syaikh al-Islam Terengganu. Dilahirkan pada tahun 1817 [1236 Hijrah] di Kg. Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada bulan Zulhijjah 1335 Hijrah bersamaan dengan September 1917 Masihi. Ayahnda beliau ialah Sayyid Muhammad bin Sayyid Zainal Abidin al-Aidrus atau dikenali sebagai Tok Ku Tuan Besar di Terengganu. Adik-beradik kandung Tok Ku Paloh ialah Saiyid Zainal Abidin al-Aidrus yang dikenali sebagai Engku Sayyid Seri Perdana, Sayyid Ahmad al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Ngah Seberang Baruh dan Sayyid Mustafa al-Aidrus yang dikenali sebagai Tok Ku Tuan Dalam, Tuan Embung Abu Bakar yang dikenali sebagai Tuan Embung Solok atau Tok Ku Tuan Kecik dan Tuan Nik (Senik). Tok Ku Paloh dikurniakan umur yang panjang. Bererti ketika meninggal dunia Tok Ku Paloh berusia sekitar 102 tahun menurut perhitungan tahun Hijrah atau 100 tahun menurut tahun Masihi. Beliau ialah seorang ulama dan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin III. Tokku Paloh adalah generasi ke-32 daripada Rasulullah SAW dan beliau datang dari kabilah Al-Aidrus. Nasab sebelah bapanya sampai kepada Sayidina Hussein r.a. anak Sayidatina Fatimah Az-Zahrah r.ha. binti Rasulullah SAW. lbu Tokku Paloh, Hajah Aminah, ialah isteri pertama daripada beberapa orang isteri Sayyid Muhammad yang terkenal dengan gelaran Tokku Tuan Besar. Satu kejadian dimana beberapa buah armada British datang lagi ke persisiran pantai Kuala Terengganu. Tanpa memberi sebarang amaran, armada itu melepaskan tembakan meriam dan senapang ke arah pantai dan mengarah ke udara. Serangan yang bertujuan menggertak itu telah membunuh seekor kambing di Padang Hiliran.Orang ramai menjadi gempar dan cemas dan sekali lagi Sultan Zainal Abidin menyerahkan urusan ini kepada Tokku Paloh. Lalu dengan tenang dan yakin Tokku Paloh dan bersama orang-orang kanannya termasuk Haji Abdul Rahman Limbong, Sheikh Ibrahim dan Tok Kelam serta pengikut-pengikutnya yang lain meronda sepanjang pantai. Operasi rondaan itu berjalan siang dan malam. Dikatakan ekoran dari itu, British tidak lagi membuat kacau dan semua armadanya berundur. Mengikut laporan angkatan perang British itu nampak ‘beribu-ribu’ pahlawan Terengganu lengkap dengan senjata bersiap sedia untuk melancarkan serangan balas. Sebab itulah mereka cabut lari. Kehebatan perjuangan Tokku Paloh yang mempunyai karamah menentang British berhabis-habisan. Beliau berpegang kepada falsafah: Perjuangan tidak kenal hidup atau mati. Dengan benteng iman dan takwa yang kukuh pada diri Tokku Paloh itu, pihak British gagal menjajah Terengganu sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah pada tahun 1917, dan diikuti dengan kemangkatan Sultan Zainal Abidin III pada tahun berikutnya. Perginya ulama dan umara yang berganding bahu dalam pemerintahan.
Thursday, 10 April 2014

Sultan Zainal Abidin III - Kecenderungan dan Fiil Baginda Sultan

Sultan Zainal Abidin III merupakan sultan Terengganu dan segala jajahan takluknya yang ke sebelas. Baginda memerintah negeri ini dari tahun 1881 M sehinggalah 1918 M. Pemerintahan baginda menghadapi cabaran dalam campurtangan British terhadap negeri Terengganu. Namun, dengan permuafakatan umara dan ulama terutamanya Tok Ku Paloh dan Tuan Haji Abdullah Bin Abdul Latif Losong, British gagal menguasai Terengganu semasa hayat baginda. Semasa zaman baginda, Baginda telah meminta seluruh alim ulama dan guru-guru agama di tanah jajahan Baginda supaya mengadakan solat hajat agar dilindungi Terengganu daripada dimusnah dan dizalimi British. Berikut adalah salah satu surat yang diterima oleh Tuan Haji Abdullah daripada Baginda Sultan: "..... Daripada kita Seri Paduka Yang Dipertuan Besar kepada Al-Haji Abdullah Bin Haji Abdul Latif. Maka kita nyatakan barang taarif jua kiranya hendaklah Haji Abdullah bersungguh-sungguh mengerjakan sembahyang hajat serta dengan doa minta dilemahkan dan dibatalkan Allah Subahanahuwataala akan kekerasan dan kejahatan seteru yang kuffar dan tipu daya mereka itu yang mencita-cita mereka itu hendak masuk memerintahkan di dalam negeri kita maa'syirul Muslimin dan minta dimudahkan oleh Allah Subahanahuwataala akan Kerajaan Siam menerima dan menurutkan seperti bagaimana maksud dan kehendak kita demikian lagi minta dikekalkan oleh Allah Subahanahuwataala akan kerajaan kita dan yang kemudian daripada kita kerajaan yang Islam jua yang memerintahkan di Negeri Terengganu ini dengan keadilannya menjalankan hukum syariat Sayyidina Muhammad Sallallahualahiwasallam maka hendaklah Haji Abdullah mengerjakan sembahyang hajat serta minta doa daripada Allah Subahanahuwataala seperti yang tersebut itu pada tiap-tiap lepas sembahyang tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan ini hingga habisnya wassalam fil badi wal khitam, 19 fi Ramadhan Sanah 1320" Ayuh sama-sama kita terus berdoa dan bermunajat agar kita kembali kepada landasan utama dalam mengekalkan tujuan penciptaan kita sebagai hamba Allah di bumi ini.
Friday, 4 April 2014

Sejarah "Panji Alam"

Assalamualaikum & salam sejahtera.. sedikit perkongsian insyallah, bersempena dengan alamat rumah saya iaitu Kg Nibong Panji Alam, Batu Burok, KualaTerengganu, Terengganu., ada cerita disebaliknya iaitu sejarah tentang Panji Alam. Nama sebenar ialah Megat Panji Alam iaitu seorang tokoh pahlawan negeri Terengganu. Megat Panji Alam adalah Putera Raja Terengganu sezaman dengan kegemilangan Melaka dan Hang Tuah. Beliau pernah bertunang dengan anak Bendahara Pahang bernama Tun Teja Benggala tetapi dilarikan oleh Hang Tuah untuk dijadikan isteri Sultan Melaka. Megat Panji Alam dan saudaranya Megat Kembar Ali berserta 4000 orang rakyat Terengganu menuju ke Melaka untuk berperang. Berita penyerangan Megat Panji Alam diketahui oleh Melaka, maka satu angkatan Melaka yang diketuai oleh Hang Tuah dan Hang Jebat menuju ke Pahang. Peristiwa pembunuhan Megat Panji Alam telah menimbulkan kemurkaan Sultan Pahang dan Sultan Terengganu. Sultan Terengganu sendiri telah bersedia untuk menuntut bela tetapi dibatalkan. Sedikit rentetan..pada tahun 2006 hingga 2012, saya bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Panji Alam(bersempena nama Megat Panji Alam) yang dibuka tahun 1965. Nama asalnya ialah Sekolah Menengah Kampung Nibong. Dirasmikan pada 28 Mac 1966 (7 Zulhijjah 1385) oleh Tun Abdul Razak bin Hussein, Timbalan Perdana Menteri pada masa itu. Tahun 1987 Tingkatan Enam mula dibuka & pada tahun 1989 sebuah dewan serbaguna dan surau dibina.
Tuesday, 1 April 2014

Sejarah "Terengganu"

Asal Usul Nama Terengganu Terdapat beberapa cerita yang dikaitkan dengan negeri Terengganu. Nama Terengganu itu dikaitkan dengan "Terangnya ganu", "Taring anu" dan "Terengan nu". Kisah asal nama Terengganu ini melibatkan penduduk luar Terengganu iaitu penduduk Kelantan dan Pahang. "Terengnya ganu" ini dikaitkan pula dengan peristiwa beberapa orang pelayar Kelantan tiba di Kuala yang kini dipanggil Kuala Terengganu melihat pelangi dilangit. Mereka pun menyatakan "Teren sungguh ganu di sini". Apabila pulang ke Kelantan mereka menyatakan di negeri jiran sungguh "terang ganunya". Sementara itu "Taring anu" dikatakan berasal daripada cerita yang dikisahkan oleh Sultan Terengganu yang kesembilan, Baginda Omar (1839 - 1876). Sebelum wujud nama negeri Terengganu, satu rombongan Pahang datang memburu di kawasan hulu. Apabila mereka tiba di satu tempat ( kini dikenali dengan Sungai Terengganu Mati ), salah seorang daripada rombongan itu terjumpa sebatang taring. Beliau pun bertanya kepada temannya, taring apa? Salah seorang daripadanya menyatakan "taring anu" kerana dia tidak dapat mengingatkan nama taring tersebut. Tidak lama kemudian, diantara mereka dapat memburu seekor rusa. Apabila dibawa pulang ke tempat mereka berkhemah, salah seorang daripada mereka bertanya tempat rusa itu diburu. Mereka yang berkenaan menyatakan berburu di "Taring anu". Begitu juga apabila membawa pulang kayu gaharu dan ditanya tempatnya, mereka menyatakan di "Taring anu". Lama kelamaan dikenali dengan Terengganu. Sebuah kisah lagi berkait dengan salah sebuah sungai yang bernama Sungai Terengan. Dipercayai pada zaman silam sudah ada penduduk di sini. Mereka berulang-alik menggunakan kedua-dua sungai ini. Jika mereka bertolak dari Kuala Terengan, mereka akan menggunakan sama ada Sungai Terengan atau Sungai Kerbat. Jika ada di antara mereka bertanya hendak ke mana, mereka akan jawab sama ada ke "Terengan ni" atau "Terengan nu". Dengan itu lama kelamaan muncul lah Terengganu.